Diari Hidup Seorang Muslim

Aku Melihat, Mendengar, Dan Merasa..Lalu Ku Menulis

Diari 124 : Antologi Hati

Assalammualaikum Dan Salam Sejahtera..

Hari ini merupakan hari Ahad. Macam biasa, selepas bangun daripada tidur awal pagi tadi, aku bersihkan kandang kucing terlebih dahulu, cuci aquarium kura-kura, aquarium ikan, cuci kereta dan akhir sekali kemaskan tempat tidur aku. Rasa sekejap sangat cuti hari ahad kan ? (rasa macam tak bebas). Aku tak tahulah, apa sebenarnya pengertian hidup ini dan apa yang sebenarnya aku cari ?. Aku rasa macam terkurung dalam satu situasi. Situasi apa ?. Situasi dunia. Tapi takpelah, tak lama lagi, aku dah boleh bebas dan hidup sebagaimana yang aku kehendaki..

Aku dah tak nak hidup seperti di dalam kurungan lagi dan InsyaAllah, semoga perjalanan diari nie, bila dah sampai ke diari yang ke 200, akan ada sesuatu yang aku boleh kongsikan.. 🙂 .

Tapi sayangnya banyak diari aku yang dah hilang. Aku start menulis pada usiaku 24 tahun (2010), ketika aku belajar di GiatMara Seremban. Aku hostingkan blog aku di platform Blogspot . Jika berhasrat nak jadi blogger ataupun nak buat simple web untuk sales landing page, boleh start guna platform blogspot, percuma 100% (milik google). Blog aku diketika itu, https://diaryzar.blogspot.com. Masa itu, dah sampai Diari yang ke 130, tapi disebabkan tulisan-tulisan aku ada melibatkan tentang seseorang (perhubungan perkahwinan), aku terpaksa delete account tue dan aku tak backup pun isi kandungannya..

Bayangkan, jika diwaktu itu aku terus menulis sampai ke hari ini, mungkin dah sampai diari yang ke-1000 agaknya .. Hahaa.. 🙂 .Ini semua adalah kecenderungan hatiku, mengamati keadaan sekeliling, mendengar bait kata-kata manusia, dan merasai setiap naluri hati itu sehinggalah diterjemahkan di dalam bentuk aksara kata-kata (penulisan). Tapi lepas nie, aku nak cuba belajar luahkan ia di dalam bentuk gambar ataupun video. Aku dambarkan kehidupan seperti itu (yang bebas daripada semuanya)…

Yang masih terkesan

Okay, untuk diari semalam. Aku ada ceritakan mengenai kejadian yang berlaku kepada diriku di tempat kerja kan. Sampai sekarang, hatiku masih lagi terkesan dengannya, diaorang memang baiklah semalam.. Aku tak sangka betul. Haha. 🙂

Kata-kata adikku semalam juga, masih lagi terbayang-bayang di fikiranku. Dia katakan, aku tak boleh mempersoalkan rezeki TUHAN , tetapi aku perlu mempersoalkan apa usaha yang telah aku lakukan. Memang benarlah kata-kata dia, jika aku tanya kepada diriku sendiri, mengapa aku tak boleh mempersoalkan rezeki TUHAN ? Jawapannya mudah sahaja, kerana itu bukanlah hak aku untuk mempersoalkannya (kerana di luar kekuasaanku), dan setiap yang hidup diatas kehidupan ini telahpun ditentukan akan kadar rezekinya oleh TUHAN yang menciptakannya..

Tetapi sebaliknya, aku memiliki hak ke atas diriku sendiri untuk mempersoalkan usaha-usaha yang telah aku lakukan untuk mencapai tujuan atau kehendak dalam hidup ini. Nak tau tak, kata-kata itu sekarang nie sedang bermain-main di dalam fikiranku. Semua perkara yang terjadi di dalam kehidupan ini, bukanlah sia-sia, sebaliknya ia meninggalkan hikmah bagi sesiapa yang ingin mengambil pengajaran daripadanya. Ia sama juga sebagaimana penciptaan bumi dan langit (dan di antara keduanya), terjadinya siang dan malam, yang mana ia menjadi tanda bagi orang-orang yang berakal (yang mahu berfikir) akan kekuasaan (kewujudan) TUHAN .. 🙂

Kehidupan nie penuh dengan misteri dan kebanyakkan misteri ini boleh dirungkai pada waktu malam. Ini bukan nak cerita pasal agama, sebagaimana yang aku ceritakan sebelum ini, aku tak suka bercerita bab-bab agama. (cuma perkongsian sahaja). Jika aku ringkaskan kehidupan manusia dalam sehari, bangun waktu pagi, mandi, bersiap untuk pergi kerja, naik kenderaan pergi kerja, bekerja sehingga pukul 5 (kalau takde overtime), balik dan sampai rumah dalam pukul 6 petang, mandi, makan malam, tengok tv, berbual dengan keluarga ataupun anak-anak, tidur.. kemudian sambung semula cerita nie, berulang dan berulang…

Jadi, tak ramai yang berpeluang sebenarnya untuk hidup pada waktu malam kan. Mengapa ? Sebab ia sukar kan ? Tak ramai yang mampu untuk melakukannya (keletihan pada waktu siang). Disebabkan oleh itulah, rahsia-rahsia kehidupan nie banyak tersimpan pada waktu-waktu seperti ini (waktu malam), terutama ilmu yang berkaitan dengan hati.

Pertunangan

Alhamdulillah, baru sebentar tadi, aku dan ibu memberitahu ayah pada Hari Raya Qurban nie, ada orang nak datang meminang adikku (Beeha). InsyaAllah, jika itu yang telah ditakdirkan untuk dirinya, lepas dia habis belajar nanti (dalam 1 tahun setengah lagi), InsyaAllah dia dan pasangannya akan melangsungkan perkahwinan..

Adikku bertanya kepadaku, “Abang Erol bila lagi ?”.. Heheee.. 😉 . Aku kalau boleh, nak cepat jer. InsyaAllah, aku sedang berusaha untuk stabilkan kehidupan aku. Bila dah stabil nanti, aku akan buat keputusan. 🙂 . Tapi, walau apa pun yang berlaku lepas nie, aku nak berterima kasih dengan Wawa, sebab dialah yang banyak mengajar aku cara untuk bercinta (aku tak pernah ada teman wanita sebelum nie). Aku beruntung sebab dia terima aku, tak ramai perempuan yang boleh terima diri aku dalam keadaan yang seperti ini. (banyak kekurangan).

Hidup ini tiada siapa yang pasti dan apa yang bakal terjadi 1 minit yang akan datang pun, tiada siapa yang boleh memberikan kepastian. Kebarangkalian untuk sesuatu itu terjadi ataupun tidak, mungkin ataupun tidak, siapa yang pasti ? . Sekiranya DIA berkehendakkan sesuatu, apa upayamu ?

Khairul Azahar Sharriffuddin
28 July 2019 9:14 Minit Malam
Kampung Sungai Buaya, Selangor
Previous Post Diari 123 : Bermakna Bagi Hati..
Next Post Diari 125 : Bermulanya Sebuah Kisah Baru..